Showing posts with label ilham rasa. Show all posts
Showing posts with label ilham rasa. Show all posts

Thursday, April 26, 2012

CERITERA TENTANG KITA


dunia itu hanya ada aku dan kamu
kita menatang cinta bagai satu anugerah terindah
sehingga kekadang dugaan cinta
bagai satu buaian perasaan yg mendamaikan
kita teguh walau perit diuji
kita kuat walau penat diduga
kita masih di sini menganyam cinta abadi

dalam hati
penuh rasa tatkala memandangnya
bercambah gembira saat mendengar getar suaranya
berbunga bahagia bertukar kata dan cerita
dan hati terus berbisik hanya dia segalanya

seakan aku bisa berdiri
walau hanya bertongkatkan dia
seakan aku bisa berlari
walau hanya berarahkan dia
seakan aku bisa menari
walau hanya berpasangkan dia
seakan aku bisa hidup
walau hanya dengannya

jauh darinya aku sepi
walau ditemani dunia
biar apapun aku ingin dekat dengannya
berkongsi keperitan dan keluh kesahnya

saat ini hanya dia untukku
semoga kau di sisi hatiku selamanya

ditulis oleh : anayirus
masa : 12.04pm
tarikh : 2/2/2011

aku hanya

Aku hanya patung
yang sedang berdiri
memerhati kosong
dirimu dan kejammu
tegar membiarkan aku di sini

aku hanya patung
yang sedang menadah rasa
dicemuh dan di hina
tanpa mereka sedar
sapa yang berdosa
aku atau engkau

aku hanya patung
yang sedang menebal duka
terkatup mulutnya
demi maruah sang pria
yang ghaib prinsip hidupnya

aku hanya patung
yang sedang menguntum senyum
sedang hati persis badai
diamuk sakit yang tiada ubat
terdampar tanpa daya

aku hanya patung
yang menjadi tatapan semua
tanpa ada yang sudi
memandang tepat ke jiwa
menghitung pedih yang terbenam
dan terlubuk di hati

mungkin aku hanya patung yang sepi
yang sedang membilang hari utk pergi
meninggalkan terang yg menyilaukan mata
dan menjadi penghuni kegelapan abadi...

Wednesday, January 26, 2011

putera di mata bukan di hati

Aku pernah terlena 
pada renungan matamu yang mendamaikan
Tersentuh perasaan 
pada bait kata yang mengasyikkan
aku pernah terleka 
pada segaris senyuman yang mengundang tenang
bagai meniti pelangi indah
mendakap aku dalam bahagia

masa berlalu menggoyahkan sekeping hati
terjaga aku dari lena yang panjang
melangkah jua tanpa rela
kerana putera hatiku
masih setia pada dunia nan silam

andai hari ini seindah semalam
pasti kubelai kukasihi setulus hati
namun sering impian berselisih dengan realiti
kupujuk hati agar redha dan pasrah
walau pedih tetapku bertahan
tiada dendam mahupun kebencian
perasaan yang wujud ikhlas tanpa batasan

tidak kuharap kata yang pasti
pergilah jauh dari sisi dan memori
walau kau hadir sekali lagi
tidak mampu kuberpaling kembali
kerana disudut hati tertanam sangsi
bersilang antara keliru dan pasti

memori silam kelmarin
singkirkanlah dari ingatanmu
kumohon pengertianmu
fahamilah aku buat terakhir kali ini

aku tak mampu lagi senyum
aku tak daya lagi ketawa
aku tak sanggup lagi ria
hanya untuk tatapan mereka
aku ingin jujur pada diriku

hati aku yang sakit
hati aku yang lemah
hati aku yang parah
hati aku yang kecewa
hati aku yang tewas
hati aku yang mati
inilah aku sejujurnya

izinkan aku membawa diri 
pemergianku usah kau jejaki
berilah sedikit ruang waktu
untuk aku mencari jiwaku yang pergi

kuhormati ikatan antara kita
kukenang segala budi dan jasa
moga bahagia mengiringi perjalananmu
dengan limpah rahmat dariNya
Andai semalam ada bahagia
hari ini bukan semalam
esok juga belum penentunya
Aku berserah pada Allah Yang Esa
Dialah penentu segalaNya

ditulis oleh : anayirus

Monday, January 17, 2011

walau tanpaku

segala yang berlaku 
tak semudah apa yang digarap
tak seindah apa diilham
tak sehebat apa yang dicipta
tak terjangkau oleh akal aku dan dia
tak ternujum di firasat dan benak
namun aku harap dia kuat untuk melangkah

cukuplah aku nokhtahkan sebuah ceritera
cukuplah karangan yang berjela
cukuplah segala luahan rasa
cukuplah kerana ia adalah penamat

tenanglah tanpa kehadiranku
tenanglah menjadi dirimu
tenanglah membawa laramu
kerana tenangmu kini yang kuperlu

usah ditanya mengapa
usah ditanya kenapa
usah ditanya bila
usah ditanya bagaimana
kerana segalanya adalah ketentuan
yang tak perlu dipersoalkan

ikhlaslah menerima
ikhlaslah memberi
ikhlaskan segalanya
kerana keikhlasanmu yang kuperlukan
demi membina hidup baru


jika sebenarnya aku yang khilaf
aku mohon kemaafan
dan jika engkau yang salah
aku hulurkan keampunan
segala yang berlaku
usah dijadikan dendam yang membeku
yang akhirnya melenyapkan erti kemanusiaan

biar tanpaku teruskan langkahmu
biar tanpamu kuteruskan hidup
biarkan waktu membalut kelukaan
biarkan masa membungkus kerinduan
biarkan saat menghapus kepiluan
biarkan ia berlalu bak semilir


ditulis oleh : anayirus
masa : 10.02 am
tarikh : 18 jan 2010

Thursday, December 9, 2010

D.A.N.I.S.H


Aku hilang tawanya kini
dunia seakan sepi
benarkah aku kini yang jauh darimu
tanpa erat genggammu
mekar senyummu
manja rajukmu
esak tangismu
maafkan aku kerana melepaskanmu tanpa kerelaan

tak mampu kuungkap dengan kata  pedih kelukaanku ini
tak juga mampu menenteramkan jiwa yang berkelana
kerna aku kini bernafas tanpa denyutan
berdiri  tanpa daya
berbaring tanpa jiwa
lelap tanpa rasa
hidup dengan derita hanya kerana kehilanganmu

semenjak kau hadir
setiap hariku adalah semangatku
 kutemui erti kehidupanku yang lain
yang lebih bernilai dari material
lebih bererti dari nyawaku
kaulah permata hatiku

dan kini aku merintih sendiri
bersama rindu yang sarat
yang tidak mampu kuterjemah
walau dengan tangis maupun esakan

Walaupun jauh dari mata
Namun hangat pelukan manjamu
Masih dapat kurasai hingga kini
Kerana kaulah insan yang menenangkan jiwaku di saat lara
Dan mengesat airmataku di saat hiba

Izinkan aku terus memelukmu
Walaupun hanya dalam mimpi
Tak ingin kuterjaga biarpun dinihari
Kerana mentari akan merampas dirimu dariku lagi dan lagi

Aku akan terus menyayangimu.
kerna kehadiranmu melengkapkan kekuranganku
meniupkan semangat dan harapan
dan membuatkanku terus tabah
semoga dirimu hidup dengan lingkaran kasih sayang
dan membuatkan aku sentiasa bangga denganmu

Padamu Ya Allah
Aku serahkan segalanya
Kerna ENGKAUlah yang menghakimi segalanya

ditulis oleh : Anayirus
Masa : 03:31am
9 December 2010 ( 03/12/2010)

Monday, July 12, 2010

hati yang resah

lewat kenangan semalam
kekadang terpantul indah di medan rasa
memutar dan menyingkap kembali
cerita kau dan aku
yang kita tarikan bersama
di lantai dansa kehidupan

mengapa kau yg dulu menyingkir resahku 
kini meresahkanku
kau yang dulu melukis kanvas hidupku
kini memadamkannya
kau yang dulu menghapuskan tangisku
kini mencipta tangisku
kau yang dulu merona bahgiaku
kini menghadiahkan deritaku
kau yang dulu memberi sinar
kini meninggalkanku sengsara

andai ada khilafku, maafkanlah
andai ada egoku, padamkanlah
andai ada dosaku, ampunkanlah
andai ada kasarku, lembutkanlah
andai ada cacatku, cantikkanlah
andai ada kurangku, tambahkanlah
andai benar rasa itu masih tersisa

kerna 
hidupmu adalah hidupku
matimu adalah matiku
cintamu adalah cintaku
bencimu adalah benciku
bahagiamu adalah bahagiaku
jatuhmu adalah jatuhku
banggamu adalah banggaku
aibmu adalah aibku
resahmu adalah resahku
tangismu adalah tangisku

jangan sanggup kau lupakan
kita adalah satu
walau dari arah mana
kau memandangku
aku adalah kamu
pantulan dirimu adalah aku

saat kau lafazkan akad itu
aku tercipta untukmu
akulah hawamu
akulah surimu
yang akan menemanimu
dan erat memegang setiaku

dan andai satu ketika
kau sudah tidak sudi memandangku
kau enggan merenda mimpi bersamaku
kau bosan menganyam angan denganku
lepaskan aku sebaiknya
aku rela menjadi insan yg tewas
demimu....

ditulis oleh : anayirus
tarikh : 12 Jul 2010
masa : 4:56 pm

Sunday, July 11, 2010

bingkisan sepi buatmu.... ilham anayirus

kasih yang ternokhtah....

terjarak diriku
saat hati ini kau sakiti lagi
mengapa obor yg menyala dulu
padam ditiup musuh bahagia
ruang gembira itu kini sepi tanpa penghuni
meninggalkan aku tanpa kata
merantaiku di pinggir lara

terlerai kasihku
saat jiwa ini kau lukai lagi
mengapa sanggup kau hadirkan derita
sedangkan hati ini pernah kau miliki
dan tak pernah ku berpaling
dari mencintaimu setulusnya

ternokhtah cintaku
saat perasaan ini kau lukai lagi
bersama kata menusuk rasa
kau hadiahkan padaku
terima kasih kerna kau munculkan dirimu
yang sebenar-benarnya
biarpun lewat
namun bisa menyedarkan aku
yang selama ini terlena

tersingkir rinduku
saat rasa ini kau hampai lagi
membuatkan aku sedar
cinta ini sebenarnya
tidak menghadiahkan aku bahagia
selain sengsara
tidak menjanjikan aku tenang
selain kecewa
tidak memberikan aku riang
selain nestapa

Aku pernah mencintaimu sejujurnya
menerima kelebihanmu dan kekuranganmu
namun segalanya tidak bermakna
sehingga rasa itu mati dan lebur
terkubur bersama nisan derita

biarkan aku rebah di sini
seorang diri
jangan kau bantu aku berdiri
kerna aku lebih tenang begini
tak sanggup lagi untuk ku melangkah
mengejar bayang kasihmu yg pergi

salam perpisahan ini
sekian lama ingin kutitipkan
sekian lama jua kudiamkan
dengan doa agar kau berubah
dan aku bisa meletakkan dirimu
kembali utuh dipersada hatiku
namun mungkin Tuhan ada kehendakNya yang berbeza
mungkin ada kebahagiaan
di hadapan sana
yang tidak pernah kita impikan

Ampunkan aku kerana tidak berdaya
menjadi insan terbaik buatmu
Ampunkan aku atas kekuranganku
yang sering menjadi punca kemarahanmu
Ampunkan aku kerana tidak berdaya
mengipas ego lelakimu
Ampunkan aku kerana terpaksa meminggir dari hidupmu

Doaku jangan mengaku kalah dalam hidupmu
kerna aku pergi
bukan untuk melihat dirimu tewas
bukan untuk melihat dirimu jatuh
kerna aku ingin pergi bersama damai

aku ingin kau terus gagah di mata semua
walaupun di sisi insan lain
aku doakan bahagiamu selamanya
meskipun tanpa aku...
insan yang lewat untuk mengerti hatimu...
maafkan kekhilafanku ini sekali lagi
kerna mungkin selepas ini
kau tidak lagi dapat memandangku
seperti hari ini...

ditulis oleh : anayirus
bertarikh : 10 Jul 2010
masa : 15:07pm

Saturday, April 19, 2008

Ilhamku...Suria Darina

Misteri mimpi semalam
Membawa aku jauh ke alam fantasi
Lena terpaut pada sang ranting
Yang akhirnya patah dan tewas
Jatuh di danau kembara


Senyumanku yang kelmarin hilang
Kerana akur pada sebuah ketentuan
Ingin ku rebahkan derita ini
Biar jauh dan tersisih
Agar tidak lagi berteman di jiwa
Semoga tidak menginap di ruang sepi ini


Namun mampukah aku
Yang sering tewas dan lemah ini
Mencipta kubu bahagia
Di atas nisan cinta kita
Mencipta mahligai sentosa
Di perdu jiwa yang lara


Dulu kita bagai senada
Menangis dan ketawa bagai serangkai
Rebah dan berlari bagai sehala
Manis dan pahit bagai serasa


Dan kini kita semakin dewasa
Terpisah kala ribut melanda
Terlerai pautan di hujung senja
Tersesat aku yang lara di gurun berbisa
Bagai menunggu detik dan kala
Menimbus aku di kubur derita


Aku masih tegak berdiri
Di penjuru kasih yang tak pasti
Dan adakah di sini
Nokhtah suatu kembara....

.....ilham rasa suria darina