Thursday, April 26, 2012

CERITERA TENTANG KITA


dunia itu hanya ada aku dan kamu
kita menatang cinta bagai satu anugerah terindah
sehingga kekadang dugaan cinta
bagai satu buaian perasaan yg mendamaikan
kita teguh walau perit diuji
kita kuat walau penat diduga
kita masih di sini menganyam cinta abadi

dalam hati
penuh rasa tatkala memandangnya
bercambah gembira saat mendengar getar suaranya
berbunga bahagia bertukar kata dan cerita
dan hati terus berbisik hanya dia segalanya

seakan aku bisa berdiri
walau hanya bertongkatkan dia
seakan aku bisa berlari
walau hanya berarahkan dia
seakan aku bisa menari
walau hanya berpasangkan dia
seakan aku bisa hidup
walau hanya dengannya

jauh darinya aku sepi
walau ditemani dunia
biar apapun aku ingin dekat dengannya
berkongsi keperitan dan keluh kesahnya

saat ini hanya dia untukku
semoga kau di sisi hatiku selamanya

ditulis oleh : anayirus
masa : 12.04pm
tarikh : 2/2/2011

aku hanya

Aku hanya patung
yang sedang berdiri
memerhati kosong
dirimu dan kejammu
tegar membiarkan aku di sini

aku hanya patung
yang sedang menadah rasa
dicemuh dan di hina
tanpa mereka sedar
sapa yang berdosa
aku atau engkau

aku hanya patung
yang sedang menebal duka
terkatup mulutnya
demi maruah sang pria
yang ghaib prinsip hidupnya

aku hanya patung
yang sedang menguntum senyum
sedang hati persis badai
diamuk sakit yang tiada ubat
terdampar tanpa daya

aku hanya patung
yang menjadi tatapan semua
tanpa ada yang sudi
memandang tepat ke jiwa
menghitung pedih yang terbenam
dan terlubuk di hati

mungkin aku hanya patung yang sepi
yang sedang membilang hari utk pergi
meninggalkan terang yg menyilaukan mata
dan menjadi penghuni kegelapan abadi...

Wednesday, February 16, 2011

Hati itu milik Allah

Wahai Sahabatku Yang Kecewa
www.iluvislam.com
Oleh: zulyunus

Editor: rabiatul_adawiyah



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…
 

Wednesday, January 26, 2011

putera di mata bukan di hati

Aku pernah terlena 
pada renungan matamu yang mendamaikan
Tersentuh perasaan 
pada bait kata yang mengasyikkan
aku pernah terleka 
pada segaris senyuman yang mengundang tenang
bagai meniti pelangi indah
mendakap aku dalam bahagia

masa berlalu menggoyahkan sekeping hati
terjaga aku dari lena yang panjang
melangkah jua tanpa rela
kerana putera hatiku
masih setia pada dunia nan silam

andai hari ini seindah semalam
pasti kubelai kukasihi setulus hati
namun sering impian berselisih dengan realiti
kupujuk hati agar redha dan pasrah
walau pedih tetapku bertahan
tiada dendam mahupun kebencian
perasaan yang wujud ikhlas tanpa batasan

tidak kuharap kata yang pasti
pergilah jauh dari sisi dan memori
walau kau hadir sekali lagi
tidak mampu kuberpaling kembali
kerana disudut hati tertanam sangsi
bersilang antara keliru dan pasti

memori silam kelmarin
singkirkanlah dari ingatanmu
kumohon pengertianmu
fahamilah aku buat terakhir kali ini

aku tak mampu lagi senyum
aku tak daya lagi ketawa
aku tak sanggup lagi ria
hanya untuk tatapan mereka
aku ingin jujur pada diriku

hati aku yang sakit
hati aku yang lemah
hati aku yang parah
hati aku yang kecewa
hati aku yang tewas
hati aku yang mati
inilah aku sejujurnya

izinkan aku membawa diri 
pemergianku usah kau jejaki
berilah sedikit ruang waktu
untuk aku mencari jiwaku yang pergi

kuhormati ikatan antara kita
kukenang segala budi dan jasa
moga bahagia mengiringi perjalananmu
dengan limpah rahmat dariNya
Andai semalam ada bahagia
hari ini bukan semalam
esok juga belum penentunya
Aku berserah pada Allah Yang Esa
Dialah penentu segalaNya

ditulis oleh : anayirus

Monday, January 17, 2011

walau tanpaku

segala yang berlaku 
tak semudah apa yang digarap
tak seindah apa diilham
tak sehebat apa yang dicipta
tak terjangkau oleh akal aku dan dia
tak ternujum di firasat dan benak
namun aku harap dia kuat untuk melangkah

cukuplah aku nokhtahkan sebuah ceritera
cukuplah karangan yang berjela
cukuplah segala luahan rasa
cukuplah kerana ia adalah penamat

tenanglah tanpa kehadiranku
tenanglah menjadi dirimu
tenanglah membawa laramu
kerana tenangmu kini yang kuperlu

usah ditanya mengapa
usah ditanya kenapa
usah ditanya bila
usah ditanya bagaimana
kerana segalanya adalah ketentuan
yang tak perlu dipersoalkan

ikhlaslah menerima
ikhlaslah memberi
ikhlaskan segalanya
kerana keikhlasanmu yang kuperlukan
demi membina hidup baru


jika sebenarnya aku yang khilaf
aku mohon kemaafan
dan jika engkau yang salah
aku hulurkan keampunan
segala yang berlaku
usah dijadikan dendam yang membeku
yang akhirnya melenyapkan erti kemanusiaan

biar tanpaku teruskan langkahmu
biar tanpamu kuteruskan hidup
biarkan waktu membalut kelukaan
biarkan masa membungkus kerinduan
biarkan saat menghapus kepiluan
biarkan ia berlalu bak semilir


ditulis oleh : anayirus
masa : 10.02 am
tarikh : 18 jan 2010

Sunday, December 12, 2010

Memaafkan Agar Dimaafkan...

Memberi maaf kekadang lagi susah daripada meminta maaf. Siapa yang setuju dengan kenyataan tersebut?? Ah, kenapa dengan diri ini? Apa yang pernah dibaca dalam Al- Quran, hadis dan buku-buku ilmiah susah sangat nak diamalkan. Benar, membaca sahaja tidak akan menjadikan kita insan yang lebih baik, jika ilmu tersebut tidak dipraktikkan. Apabila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedihnya. Ego dihimpit, rasa marah dan tertekan memuncak. Mampukah kita memaafkan ketika berkuasa membalas?? Forgive and forget?
Wah, jauh sekali! NAK LUPAKAN?? Huhu, Nak maafkan pun susah!



Cuba renungkan kisah seorang sahabat ini…
Aku (sahabat tersebut) bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan. Secara “basi-basi” memang kami telah bermaafan. Tetapi dia (sahabat yang lain) dan aku tahu, mendung di dalam hati kami masih lagi belum reda. Kini, setelah 5 tahun berlalu, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.


“Maaf bang…”
Aku tergamam. Aku renung matanya yang agak layu dan keletihan itu.
“Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti ek,” kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga menghulurkan kad namanya dan kami terus berpisah. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, hatiku resah. Jelas, masih sukar untuk aku melupakan kesalahannya. ATAU AKU MASIH BELUM MEMAFKANNYA SEBENARNYA??
Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset daripada siri kaset-kaset “pengubat jiwa” koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.
“Orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa ‘diikat’ oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkanlah, nescaya kau akan terlepas daripada ‘belenggu ikatan’ orang yang bersalah tersebut. Kau akan bebas daripada terus mengingati kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atas kamu. Itu lagi sakit. Maafkanlah, dan engkau akan sihat,engkau akan bebas!” Ustaz memulakan bicara.
Aku diam. Akur. Rupa-rupanya aku masih dibelenggu rasa sakit itu.


“Mengapa terlalu sukar untuk memaafkan? Ya, engkau ego. Rasa besar diri. APA PUNCA EGO?? Engkau tidak merasakan kebesaran Allah. Orang yang merasakan kebesaran Allah, akan merasa kekerdilan dirinya,”
Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hatiku. Aku ego? Ya, jawab suara hatiku.
“Allah lagikan Pengampun. Dosa demi dosa hamba-Nya, diampunkan semuanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat daripada dosanya,”
“Kenapakah kau rasa ‘besar’? Kaukah yang berikan dia rezeki? Kaukah yang berikan dia hidayah? Kaukah yang sembuhkan dia daripada sakit demamnya? Insaflah, Allah yang berikan dia semuanya. Jika Allah yang begitu besar jasa kepadanya pun memaafkan, adakah kau layak untuk tidak memaafkan?” Sekali lagi aku terhenyak. Oh, egonya aku.



Aku belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. Sengaja memanjangkan masa untuk mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.
“Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu kau lewat. Kau janji nak bayar tapi kau lupa. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi habuk pun tak ada. Kau buat macam-macam, berulang-ulang kali… Kali ini aku susah sangat, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau.” Bentakku setelah sahabatku itu memungkiri janji sekali lagi.
“Eh, siapa suruh kau percaya? Siapa suruh kau tunggu?? Biasalah, kau takkan tak tahu perangai aku macam mana kan.” Tempelak sahabat yang lain itu.
“Kalau macam ni susahlah aku.”
“Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku! Marah si sahabat lain.
Masih terngiang-ngiang dialog di antara kami ketika  itu. Walaupun dua hari kemudian dia menelefonku meminta maaf, dan aku memaafkannya, tetapi sejak itu kami ‘putus’ hubungan.



“Cuba bayangkan, kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, dan buat dosa lagi, bertaubat lagi, namun Allah masih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam Al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk tidak bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat.  Alangkah beruntungnya orang itu.” terang ustaz lagi.
Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begitu- memungkiri janji, berulang-ulang kali. Ya, sukarnya memaafkan, tapi Allah?? Sekali lagi, suara hati menusuk jiwa, SIAPA BESAR???
Reputasiku hampir hancur, malah aku hampir kehilangan pekerjaan dibuatnya. Tapi, terlalu besarkah dosanya kepadaku??
“Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar- besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.”

“Aduh, kecilnya kesalahan manusia dengan manusia berbanding dosa antara manusia dengan yang Maha Esa. APAKAH ALASAN KITA UNTUK TIDAK MEMAAFKANNYA?? “
“Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepada-Nya, zat yang Maha Mulia.”
“Maafkan dosa sesama kita, insan yang hina ini, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilan-Nya nanti. Allah Maha Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. MAAFKANLAH AGAR DIMAAFKAN.” Ustaz menamatkan bicaranya di dalam slot tersebut.




Ingin segera rasanya diri ini memaafkan, agar segera dosa-dosa kita diampunkan Allah. Ya  Tuhan, …egonya aku selama ini. Menyimpan sifat “ketuhanan” dalam diri yang begitu hina dan serba kekurangan ini. Ya Allah, semoga Kau mengampunkan dosa-dosa hambaMu ini yang bertimbun-timbun ini. Amin Ya Rabbal Alamin.
Semoga cerita ringkas ini mampu menjadi iktibar bagi diri kita semua. Yang penting adalah amal. ILMU TANPA AMAL UMPAMA POHON YANG TIDAK BERBUAH. Tak guna kita tahu pentingnya memaafkan, tapi kita tidak praktikkannya…Wallahualam.

copy from www.azzariyat.com